GEORGE TOWN, 18 Januari- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggesa satu penyelesaian segera diambil bagi menangani isu buli siber.
Ini berikutan isu tersebut dilihatnya semakin serius terutama dalam kalangan kanak-kanak dan golongan dewasa.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) menegaskan peranan ibu bapa penting dalam menangani isu tersebut.
Ini termasuk menerusi pemantauan aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
"Memang satu masalah yang kita perlu tangani secepat mungkin, sebelum dia merebak. Ibu bapa, sila awasi juga apa yang anak-anak kita lihat di telefon pintar.
Banyak yang masuk dalam telefon itu, mungkin kita tidak ingini. Ini penting kerana minda mereka masih muda. Mereka tidak boleh tapis apa yang tidak baik. Ini kita mesti awasi, jangan kita bersikap lepas tangan," kata Dr. Wan Azizah kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Kembali ke Sekolah 2025 di George Town.
Program anjuran Kasih Malaysia dan Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang itu menyaksikan 300 pelajar menerima bantuan beg sekolah, alat tulis serta wang tunai.