Buku ‘Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu’ terbitan UPSI raih Anugerah Khas ASEAN

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam menyampai sijil kemenangan kepada Prof Dr Azhar Wahid (tiga kanan) sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjuran, Tan Sri Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

TANJUNG MALIM, 4 Februari- Buku bertajuk Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu terbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila memenangi Anugerah Khas ASEAN International Book Award (AIBA) dalam Kategori Buku Sastera Terbaik pada majlis di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buku UPSI "Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu" menang Anugerah Khas AIBA dalam Kategori Buku Sastera Terbaik.
  • Pengiktirafan menegaskan relevansi dan daya saing sastera serta pemikiran Melayu di peringkat antarabangsa.
  • Kejayaan hasil kerjasama penulis, penyunting dan pasukan penerbitan PKM menjamin kualiti akademik dan penyampaian.
  • Penghargaan dilihat sebagai usaha memperkukuh pemikiran Melayu dan mempromosikan dialog budaya tempatan dengan dunia.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam yang dihadiri tokoh akademik, penulis, rakan strategik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar menyifatkan kejayaan Prof. Dr. Azhar Wahid sebagai pemangkin kepada akademia lain untuk terus berkarya.

“Dengan kejayaan buku ini, saya yakin ia akan memberi inspirasi kepada akademia lain untuk menghasilkan karya bermutu yang bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.

Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM) UPSI, Prof. Madya Dr. Nordiana Hamzah berkata pengiktirafan itu membuktikan keupayaan penerbitan universiti dalam mengangkat karya ilmiah sastera dan pemikiran Melayu ke peringkat global, sekali gus mengukuhkan kedudukan UPSI di persada antarabangsa.

“Pengiktirafan terhadap buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu menunjukkan bahawa penerbitan ilmiah berteraskan sastera dan pemikiran Melayu masih relevan, kritikal dan berdaya saing dalam membentuk wacana intelektual negara,” katanya.

Beliau menambah kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama erat antara penulis, penyunting dan pasukan penerbitan PKM dalam memastikan kualiti kandungan, penyuntingan, pembacaan pruf serta persembahan buku memenuhi piawaian akademik terkini.

Prof. Dr. Azhar Wahid menyifatkan pengiktirafan terbabit sebagai penghargaan terhadap usaha memperkukuh pemikiran Melayu melalui analisis sastera yang kritis dan berteraskan tradisi ilmu tempatan.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan sebuah buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha mengangkat sastera Melayu sebagai medan wacana pemikiran yang berakar pada budaya sendiri dan mampu berdialog dengan dunia,” katanya.

Ketua Penyunting PKM, Azlan Mohd Dahari berkata beliau bertanggungjawab menyelia aspek penyuntingan dan memastikan kualiti penerbitan buku setebal 120 halaman terbitan tahun 2025 itu selaras piawaian penerbitan ilmiah universiti.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan