Budayakan kitar semula demi masa depan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar bersama komuniti sukarelawan Persatuan Kebajikan Sayangi Rakyat Kuala Lumpur (PKSRKL)/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 April – Amalan kitar semula di peringkat komuniti wajar diperkasa dan dijadikan budaya berterusan sebagai pelaburan jangka panjang dalam memelihara kelestarian alam sekitar, serta menjamin kesejahteraan hidup masyarakat untuk generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peranan sukarelawan penting memastikan pusat kitar semula beroperasi efektif dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
  • Usaha kitar semula mesti dilaksanakan berterusan dan dipantau supaya berkembang menjadi gerakan komuniti yang mampan.
  • Dewan Persatuan Kebajikan Sayangi Rakyat Kuala Lumpur dibaik pulih menjadi pusat aktiviti persekitaran dengan peruntukan RM100,000.
  • Pemimpin merakam penghargaan kepada penduduk dan menggesa kitar semula diperkukuh sebagai budaya untuk generasi akan datang.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peranan sukarelawan amat penting bagi memastikan pusat kitar semula yang diwujudkan berfungsi secara efektif dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Amalam ini penting kerana pencemaran plastik dalam negara kita menjejaskan persekitaran termasuk pantai, dan kita semua perlu menjadi penjaga melalui amalan kitar semula yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan dewan berkenaan di Taman Bukit Anggerik di ibu negara hari ini.

Usaha berkenaan perlu dijadikan contoh kepada masyarakat di negara ini agar kitar semula dilihat sebagai salah satu pendekatan utama dalam memelihara alam sekitar dan memastikan ekosistem terus terpelihara.

“Kadangkala usaha bermula dengan baik, namun tanpa sukarelawan yang bersemangat untuk meneruskan, ia boleh terhenti dan tidak berkembang,” katanya lagi

Usaha kitar semula perlu dilaksanakan secara berterusan dan dipantau agar tidak terhenti di peringkat awal, sebaliknya berkembang sebagai gerakan komuniti yang mampan.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Dr Wan Azizah turut memalumkan bahawa Dewan Persatuan Kebajikan Sayangi Rakyat Kuala Lumpur yang sebelum ini tidak digunakan dibaik pulih sebagai pusat aktiviti komuniti setempat.

“Peruntukan RM100,000 digunakan untuk memperbaiki dewan ini yang dahulu terbiar, dan kini menjadi pusat bagi pelbagai aktiviti, khususnya berkaitan persekitaran,” katanya.

Datuk Seri Dr Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada penduduk atas sokongan yang diberikan serta berharap usaha kitar semula dapat diteruskan dan diperkukuh sebagai budaya demi masa depan generasi akan datang.