Budaya digital tuntut pendekatan lebih progresif dalam penyampaian agama dan dakwah

Budaya digital tuntut pendekatan lebih progresif dalam penyampaian agama dan dakwah.

SEPANG, 12 Februari – Budaya digital yang pantas dan interaktif dalam kehidupan masyarakat hari ini menuntut pendekatan yang lebih progresif dalam menyampaikan agama mahupun dakwah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu pendekatan penyampaian agama yang progresif untuk selari dengan budaya digital pantas dan interaktif.
  • Pembaharuan bertujuan supaya hukum difahami, dihayati dan memberi kesan nyata kepada masyarakat.
  • Memartabatkan institusi kefatwaan berwibawa supaya kepercayaan dan kredibiliti agama terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata pendekatan penyampaian perlu diperbaharui supaya hukum yang benar bukan sekadar diketahui tetapi dapat difahami dan dihayati oleh masyarakat sekaligus memartabatkan institusi kefatwaan negara yang berwibawa dan diyakini.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan 2026-2028 di Sepang, Selangor.

Beliau turut mendoakan agar 14 orang Ahli Jawatankuasa yang baharu itu dapat melaksanakan amanah yang diberi dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam memelihara kepentingan agama, kesejahteraan masyarakat dan kemaslahatan awam.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, Mufti di Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer.