fb fb fb fb fb

Budak lelaki maut dibaham buaya ketika mandi sungai

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba Malaysia Official)

SANDAKAN, 23 Jun- Seorang kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya ketika mandi di sungai berhampiran Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, mayat Mohd Radhi Randi, 9, ditemukan orang kampung pada pukul 3.05 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa mandi.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.16 tengah hari berkaitan mangsa dibaham buaya ketika mandi di sungai.

"Susulan itu, sepasukan 11 anggota BBP Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Alan Ayuh bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah mencari di permukaan air. Operasi SAR turut dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

SITI AISHAH MD ISA