fb fb fb fb fb

Budak 4 tahun tersangkut dalam mesin basuh

FOTO BOMBA KEDAH

KUALA NERANG, 31 Januari- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun terpaksa menahan kesakitan selama lebih satu jam selepas tersepit di dalam sebuah mesin basuh.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di jalan Felda Lubuk Merbau, dekat Padang Terap, petang tadi.

Mangsa yang dianggarkan seberat antara 15 hingga 16 kilogram itu dipercayai sedang bermain sebelum masuk ke dalam mesin basuh berkenaan.

Setelah menyedari dirinya terperangkap, kanak-kanak itu kemudiannya dibantu keluarganya selama kira-kira setengah jam untuk keluar daripada mesin basuh tersebut namun gagal sebelum mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 petang.

Sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati kanak-kanak berkenaan tersangkut di dalam ruangan bahagian pengering mesin basuh jenis manual.

“Tindakan awal anggota mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada keluarga dalam keadaan selamat serta tiada sebarang kecederaan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi tamat pada pukul 4.43 petang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE