KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Rangkuman proses penamaan calon di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan juga satu parlimen menyaksikan hanya dua kerusi DUN dipertandingkan tiga penjuru manakala bakinya adalah satu lawan satu.
Parti PAS di DUN Ladang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Manir masing-masing mempertaruhkan dua orang calon wanita bagi Pilihan Raya Umum DUN ke-15 (PRU DUN ke-15) kali ini.
DUN Kijal dijangka menjadi tumpuan apabila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Said yang juga penyandang pada PRU ke-14 bakal berdepan dengan Senator Datuk Razali Idris dari Bersatu yang bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional.
Pada PRU14 lalu, Ahmad Said meraih 9,545 undi sekali gus memenangi pilihan raya bagi DUN Kijal dengan undi majoriti sebanyak 1,265.
Ahmad Said telah menewaskan Hazri Jusoh dari PAS dengan jumlah undi 8,280 manakala Datuk Seri Wan Marzuki dari PKR telah kehilangan deposit dengan jumlah undi 1,472.
Bagaimanapun, keputusan pada PRU-15 Parlimen Kemaman lalu tidak memihak kepada Pengerusi UMNO Terengganu itu.
Pilihan raya itu menyaksikan Ahmad Said tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi kepada calon Pas, Che Alias Hamid.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula sekali lagi mempertahankan kerusi N19, DUN Ru Rendang yang dimenanginya pada PRU ke-14 dengan majoriti 6,026 undi.
Bagaimanapun, buat pertama kalinya, calon Amanah, Suhaimi Sulaiman diletakkan di Ru Rendang yang tradisinya ditandingi UMNO dan PKR.
Pertandingan tiga penjuru menyaksikan pertembungan penyandang DUN, Datuk Nawi Mohamad dari Barisan Nasional, Mohd Husaimi Hussin dari Bersatu dan seorang calon Bebas iaitu Dr Che Harun Kamariah di N.04 Hulu Besut.
Buat pertama kalinya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menampilkan Pengarah Pilihanraya merangkap Ketua Penerangannya, Luqman Long sebagai calon di N.14 DUN Bandar yang turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru bersama Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Penyandang Dun N.11, Seberang Takir yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar selain Datuk Seri Ahmad Said, akan bertemu calon Bersatu, Khazan Che Mat yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri.
Pada PRU ke-14 lalu, kesemua 32 kerusi DUN dipertandingkan tiga penjuru melibatkan BN, PAS dan PKR.
Pada PRU ke-14 itu juga sebanyak 22 kerusi dimenangi PAS manakala bakinya BN.
Hari pengundian bagi PRU DUN KE-15 enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.
PRU DUN ke-15 melibatkan 36 kerusi DUN Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
PRU DUN ke-15 enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Calon bertanding dilarang sentuh isu 3R - Polis Terengganu
PRK Kuala Terengganu, satu lawan satu PH dengan PN
DUN Kijal: Bekas MB Terengganu, Ahmad Said dicabar Razali Idris