fb fb fb fb fb

Buang sisa secara haram, Negeri Sembilan kenakan tindakan tegas

Foto hiasan

SEREMBAN, 15 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan bertolak ansur dengan pembuangan sisa secara haram selain mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahi undang-undang.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pembuangan sisa secara haram sering dilakukan oleh industri di negeri itu.

Beliau juga berharap agar industri terlibat memastikan pengendali yang dilantik membuang sampah di tempat yang dibenarkan.

"Saya berharap mereka memberi kerjasama pastikan kontraktor yang dilantik membuang sampah di tempat yang dibenarkan. Saya tahu pihak industri membayar kepada mereka, tetapi pihak pengendali ingin mengambil keuntungan lebih besar.

"Jadi mereka menghantar di tempat pembuangan haram dan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan yang dilakukan ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini.

Semalam, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menyita dua buah lori dan menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam isu membuang sampah haram dipercayai bahan binaan di Kampung Jimah Lama, Port Dickson.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI