fb fb fb fb fb

Bot terbalik, empat pemancing selamat

MERSING, 18 Ogos- Empat pemancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki terbalik berdekatan Pulau Tengah, Mersing, Johor dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam.

Kesemua mereka yang sempat memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pulau berkenaan, sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Mersing.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pelancong di Pulau Tengah itu juga sempat membantu menarik bot mangsa ke kawasan pantai.


(Pemancing berjaya berenang ke pulau berdekatan selepas bos mereka terbalik)

Semua mangsa merupakan penduduk tempatan daerah Mersing dikenalpasti sebagai Faizal Dollah, 43 tahun, Mohamad Fairuz Daron, 35 tahun ,Mohd Rizal Hassan, 34, Mohamad Asyraf Ali, 33 tahun.

Laporan awal mendapati bot dinaiki terbalik akibat cuaca buruk pada petang semalam.

Mereka yang diselamatkan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk pemeriksaan kesihatan.

Pihak Maritim meminta orang awam menghentikan sementara aktiviti di laut sekiranya keadaan tidak mengizinkan selain mengutamakan keselamatan.

Mereka juga dinasihatkan membawa Alat Pengesan Individu, PLB bagi memudahkan Maritim mengesan lokasi berlakunya kecemasan.


Media Baharu