Bot penumpang lebih muatan ditahan di Perairan Pulau Redang

FOTO MARITIM MALAYSIA

KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan sebuah bot penumpang yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan dalam satu operasi rondaan di perairan Pulau Redang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot membawa 25 penumpang, melebihi kapasiti lesen yang dibenarkan iaitu 12 orang.
  • Pelanggaran syarat lesen mengundang risiko keselamatan serius kepada penumpang jika berlaku kecemasan di laut.
  • Pemeriksaan mendapati beberapa kru tidak memakai jaket keselamatan, meningkatkan risiko kehilangan nyawa.
  • Semua penumpang diturunkan dengan selamat; bot dan kru ditahan untuk siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, bot tersebut ditahan kira-kira pukul 3 petang pada kedudukan 26 batu nautika dari muara Kuala Terengganu selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 25 penumpang, berbanding kapasiti sebenar yang hanya dibenarkan 12 orang seperti termaktub dalam lesen sah.

“Pelanggaran itu bukan sahaja menyalahi syarat lesen, malah mengundang risiko keselamatan serius kepada penumpang sekiranya berlaku kecemasan di laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kru yang tidak memakai jaket keselamatan, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan nyawa.

Bot berkenaan dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Kesemua penumpang diarahkan turun dengan selamat, manakala bot bersama kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat lesen.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.