MELAKA, 18 April - Seorang kanak-kanak lelaki tahun dua diselamatkan anggota Bomba selepas terperangkap lebih 20 minit dalam sebuah kenderaan di Taman Lagenda, di sini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Ismail Harun berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada 2.56 petang.
"Sebaik tiba di lokasi, pihak Bomba mendapati seorang kanak-kanak terkunci di dalam kereta. Ketika operasi menyelamat dijalankan, kanak-kanak berkenaan sedang tidur dan enjin kenderaan dalam keadaan hidup," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Mohd Ismail, pihaknya bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan diserahkan kepada ibunya dan operasi tamat pada pukul 3.15 petang.