Bomba komuniti perkukuh keselamatan PPR di Melaka

Datuk Rais Yasin pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan dan Ops Siaga Raya 2026 Sempena Karnival Demi Paya Rumput di PPR Krubong

KRUBONG, 12 Februari – Semua Program Perumahan Rakyat (PPR) di Melaka akan menubuhkan pasukan bomba komuniti sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ dalam memberikan respons awal sekiranya berlaku kebakaran atau insiden vandalisme di kawasan perumahan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan pasukan bomba komuniti di PPR Krubong sebagai model untuk diperluaskan ke semua PPR di Melaka tahun ini.
  • Komuniti diminta menjadi "mata dan telinga" untuk pantau kebakaran, vandalisme dan peralatan kecemasan rosak.
  • Lembaga Perumahan Melaka digesa memantau keadaan PPR dan memastikan setiap unit dilengkapi alat pemadam api.

Exco Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sebagai langkah permulaan, penubuhan Bomba Komuniti telah dilaksanakan di PPR Krubong dan inisiatif itu disasarkan diperluas ke semua PPR di negeri ini dalam tahun ini.

“Bagi isu kebakaran kali ini, sebelum ini apabila berlaku kebakaran, gelung hos kadangkala tidak sampai ke rumah bersebelahan. Namun disebabkan isu vandalisme, ada yang rosak dan tidak boleh digunakan.

“Jadi, kita harapkan masyarakat terutama komuniti setempat dapat memantau kerana mereka tinggal di situ dan lebih mengetahui jika ada kerosakan atau peralatan yang tidak boleh diguna pakai. Kita mahu mereka menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan, khususnya pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan dan Ops Siaga Raya 2026 Sempena Karnival Demi Paya Rumput di PPR Krubong di sini.

Lembaga Perumahan Melaka (LPM) juga digesa supaya sentiasa memantau semua PPR bawah seliaan lembaga itu supaya berada dalam keadaan baik dan selamat, termasuk memastikan setiap unit kediaman dilengkapi alat pemadam api.

Di Melaka, terdapat tujuh PPR iaitu PPR Krubong, PPR Tehel, PPR Tangga Batu, PPR Kampung Padang, PPR Peringgit, PPR Klebang dan PPR Paya Rumput.