fb fb fb fb fb

Bomba kesan kebocoran gas ammonia di kilang NSK Sg Tua

Seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Selayang bergegas ke lokasi kejadian.

SELAYANG, 5 Jun- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesan kebocoran gas ammonia di Kilang NSK Sungai Tua, Jalan Sungai Tua, Bandar Baru Selayang, Selangor setelah menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada 10.25 pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar kebocoran gas ammonia itu berlaku di bahagian stor kilang berkenaan.

Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kebocoran pada satu daripada empat silinder yang menyimpan gas ammonia di bahagian stor berkenaan.

“Pihak jabatan telah membuat pengungsian (mengosongkan) bangunan dan melakukan nyahcemar di tempat operasi,” katanya dalam satu kenyataan .

Menurutnya, operasi turut melibatkan pasukan HAZMAT (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) daripada BBP Shah Alam telah membuat kerja-kerja intervensi untuk menutup injap silinder ammonia yang bocor.

Turut berada di lokasi kejadian Ketua Balai BBP Bukit Sentosa, Mohd Kamil Hamadan dan Pegawai Operasi Zon Mohd Azizi Mohd Nahrowei.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI