fb fb fb fb fb

Boleh rapatkan saf solat berjemaah di Kedah pada 1 April

ALOR SETAR, 27 MAC - Bermula 1 April ini, aktiviti solat berjemaah bagi solat fardu, solat Jumaat, solat sunat dan lain-lain di masjid dan surau di Kedah boleh dilaksanakan dengan saf dirapatkan.

Aktiviti keagamaan bagi masjid dan surau di Kedah bagi fasa peralihan ke endemik itu telah mendapat perkenan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Walaubagaimanapun, bagi aktiviti selain solat berjemaah penjarakan fizikal, masih diwajibkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Mohd Yusri Md. Daud berkata kehadiran ke masjid dan surau turut dibolehkan tanpa had umur dan juga kepada yang telah menerima dos suntikan vaksin lengkap COVID-19.

(Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Mohd Yusri Md. Daud)

"Selain itu, khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid dan surau juga boleh diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh yang bersesuaian dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang 1 meter.

"Wirid dan doa selepas selepas solat dilaksanakan secara ringkas dan bersesuaian," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, solat jenazah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan dan pengurusan jenazah bukan COVID-19 dilaksanakan dengan mengutamakan langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan sebelum ini.

Amalan ziarah kubur pula dilaksanakan tanpa perkumpulan yang sesak dengan memastikan penjarakan minimum 1 meter.

Majlis akad nikah di masjid dengan memastikan penjarakan minimum 1 meter turut dibenarkan.

Turut dibenarkan, jamuan makan, gotong-royong dan kenduri turut dibenarkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang 1 meter.

Aktiviti penyediaan makanan dan memasak di masjid dan surau dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang masih berkuatkuasa dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang 1 meter.

Namun begitu penyediaan makanan secara berbungkus adalah digalakkan.

Datuk Mohd Yusri turut memaklumkan, program Ihya Ramadhan seperti kuliah dan lain-lain aktiviti pengimarahan seperti solat sunat tarawih tahajjud, witir dan lain-lain turut boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

"Namun majlis berbuka puasa, sahur dan moreh boleh dilaksanakan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang 1 meter dan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus," katanya.

Media Baharu