fb fb fb fb fb

BN Labuan mahu kembalikan kerusi Parlimen Labuan ke pangkuan UMNO

LABUAN, 16 Oktober- UMNO Bahagian Labuan optimis akan mempertahankan kerusi Parlimen P.166 Labuan yang dimenangi oleh Barisan Nasional sejak tahun 1990-an.

Pengerusi BN Labuan Datuk Bashir Alias berkata kerusi Parlimen Labuan mula dimenangi oleh calon UMNO pada PRU8 tahun 1990 dan tidak pernah kalah sehingga PRU14.

“Dengan kekuatan ahli UMNO hampir 10,000 kami akan memastikan kerusi Parlimen Labuan akan dipertahankan dan dikembalikan kepada UMNO.

“Pada dasarnya, UMNO Labuan telah diberi mandat untuk bertanding pada PRU15 untuk mengembalikan kerusi Parlimen ke pangkuan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan di Desa Tunas Hijau hari ini.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Labuan dimenangi Datuk Rozman Isli yang ketika itu bertanding atas tiket BN dengan majoriti mudah sebanyak 1,450 undi dalam persaingan empat penjuru.

Selain itu, Datuk Bashir memaklumkan bahawa pendekatan kepada pengundi muda terus diberi keutamaan.

Ini kerana, pengundi muda juga akan memberikan kemenangan sekali gus berjaya memenangi kerusi Parlimen untuk Barisan Nasional.

Pengerusi BN Labuan Datuk Bashir Alias

Gerak kerja yang dilaksanakan ketika ini oleh pergerakan sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri meyakinkan kemenangan itu kepada BN.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Media Baharu