fb fb fb fb fb

BKK Aidilfitri: Bukti kepimpinan negara iktiraf peranan penting penjawat awam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 yang diumum kerajaan hari ini, membuktikan bahawa kepimpinan negara mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan yang terus berkhidmat dengan dedikasi dan integriti.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat, pengumuman itu turut mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap prestasi serta sumbangan cemerlang penjawat awam dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Insentif itu bukan sahaja meringankan beban kos persiapan Aidilfitri, malah turut menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang dan berintegriti.

CUEPACS terharu dengan keprihatinan dan kepekaan Anwar terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

"CUEPACS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman pemberian BKK Aidilfitri itu kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, serta RM250 kepada pesara kerajaan, yang akan mula disalurkan pada minggu hadapan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap penjawat awam, walaupun baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang telah diumumkan oleh kerajaan pada hujung tahun lalu, serta pemberian bantuan khas kewangan (BKK Persekolahan) pada Februari lalu.

"Namun begitu, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri kekal sebagai satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti-nantikan oleh semua penjawat awam.

"Ia bertujuan memastikan kebajikan mereka serta keluarga terpelihara menjelang perayaan," katanya menerusi kenyataan.

CUEPACS turut menyeru agar penjawat awam bijak dalam menguruskan kewangan yang diterima dan menggunakan bantuan tersebut sebaiknya.

Selain itu, CUEPACS menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga kecil di bazar Ramadan dan pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM