(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri melibatkan pembekal serta penjual ayam dan telur ayam selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Ke-15 (PRU DUN Ke-15).
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, perbincangan itu adalah bagi menyemak semula harga siling ayam dan telur di pasaran.
"Kerana ia (harga) telah turun hampir kira-kira 9%. Purata nasional sekarang adalah sekitar RM8.37 untuk pengeluaran ayam. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berbincang lebih lanjut dengan pihak industri. Tetapi tunggu selesai PRU DUN Ke-15," katanya.
Fuziah ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
MoU tersebut bertujuan memperkukuhkan kerjasama, aktiviti advokasi, pembangunan kapasiti serta kerjasama dalam penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan kedua-dua pihak.
Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 95.01% aduan yang diterima setakat Julai lalu.
"Kami menerima lebih 20,000 aduan pada akhir Jun lalu. Lebih 30% daripadanya adalah aduan transaksi dalam talian," katanya.
Selangor merupakan negeri yang mencatatkan aduan paling tinggi iaitu sebanyak 7,512, diikuti Kuala Lumpur (5,401) dan Johor (2,365).
Aduan paling tinggi pula melibatkan kategori transaksi dalam talian iaitu sebanyak 2,615, harga barangan (2,203) dan perkhidmatan mengelirukan (1,385).
Sejak Januari lalu, KPDN turut merekodkan 8,682 aduan kepenggunaan melalui platform Aduan Suri.
(Fuziah Salleh)