Bina rumah ibadat tanpa kelulusan tidak diiktiraf sah – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian di Dewan Damar Sari Kompleks F/Foto RTM

PUTRAJAYA, 9 Februari – Rumah ibadat yang dibina tanpa mematuhi peraturan tidak akan diberikan kelulusan dan diiktiraf sebagai sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rumah ibadat yang dibina tanpa mematuhi peraturan atau atas tanah dirampas tidak akan diiktiraf sebagai sah.
  • Pihak Berkuasa Tempatan diberi kuasa untuk mengambil tindakan membersihkan rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan.
  • Amaran tindakan tegas kepada individu yang melanggar undang-undang, khususnya isu kaum, agama dan institusi diraja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua rumah ibadat boleh dibina sekiranya mematuhi peraturan serta tidak melibatkan pencerobohan tanah milik pihak lain.

“Semua boleh kalau ikut peraturan. Kalau rampas tanah orang, mana boleh kita buat ibadat. Ada percanggahan di situ. Tanah yang tidak sah, dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tidak boleh dipaksa untuk dijadikan sah. Keputusan kita jelas, ia diakui tidak sah,” katanya.

Menurut beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi keizinan mengambil tindakan membersihkan rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan.

Perkara itu disampaikan Datuk Seri Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari Kompleks F, di sini.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membangkitkan sensitiviti kaum sehingga mengganggu urusan hal ehwal agama yang perlu diurus secara teratur serta mematuhi peraturan sedia ada.

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).