KAJANG, 19 Jun - Pendidikan awal kanak -kanak khususnya menerusi program pendidkan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan terus diperkasa, bagi membina generasi masa depan yang cemerlang dari segi ilmu dan sahsiah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, pelaksanaan Program Pra-Tahfiz KEMAS sebagai pemacu perubahan dalam pendidikan awal negara.
Beliau berkata, program yang bermula pada tahun 2023 dengan hanya 100 Taman Bimbingan Kanak-Kanak Khas (Tabika) itu kini berkembang pesat dengan lebih 4,000 kelas Pra-Tahfiz ditubuhkan.
Hasilnya, lebih 61,000 huffaz cilik telah dilahirkan setakat ini.
Kini, KEMAS mengendalikan lebih 10,000 Tabika dan lebih 500 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara, melibatkan lebih 220,000 pelajar kecil dari pelbagai latar belakang.
"Insya-Allah, menjelang 2026 kita menyasarkan lebih 9,700 tabika KEMAS akan terlibat dengan lebih 145,000 huffaz cilik, melepasi sasaran 140,000 yang kita telah tetapkan.
"Ini bukan satu pencapaian kecil, ini adalah hasil iltizam dan komitmen seluruh warga KEMAS yang turut disokong melalui pelaksanaan kursus hafazan serta program 'Training of Trainers (TOT)' bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," kata beliau.
Dalam pada, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyasarkan sekurang -kurangnya satu TABIKA Tunas Istimewa@KEMAS diwujudkan bagi anak -anak istimewa di setiap daerah menjelang tahun 2027.
Jelas beliau, pendidikan yang dilaksanakan oleh KEMAS tidak lagi boleh dilihat sebagai pelengkap. Sebaliknya menjadi wahana utama dalam membina insan yang holistik, berintegriti dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.