fb fb fb fb fb

Bilik sewa 'sarang burung': 247 premis diperiksa, 464 notis dikeluarkan

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Sebanyak 247 premis yang dijadikan bilik sewa 'sarang burung' diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak 26 Oktober lalu di seluruh negara.

Sebanyak 464 notis menghapus bahaya kebakaran dikeluarkan kepada 85 premis setakat semalam.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, premis di Kuala Lumpur paling banyak menerima notis berkenaan iaitu 113 notis, diikuti Pulau Pinang (71) dan Sarawak (57).

"Dari segi kesalahan, sebanyak 198 notis dikeluarkan bagi kesalahan pengalihan atau ketiadaan kelengkapan menentang kebakaran, diikuti kesalahan tidak memasang peralatan keselamatan dengan betul (124) dan jalan keluar tidak mencukupi (56)", katanya kepada media selepas memeriksa sebuah rumah kedai di Taman Maluri, Cheras.

Premis berkenaan sebelum ini menempatkan 78 bilik sewa 'sarang burung'.

Bilik sewa 'sarang burung' merujuk kepada bilik sewa kecil yang didapati tidak menepati ciri-ciri keselamatan dan kebakaran bangunan serta tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi pengubahsuaian premis.

ROSLINA BINTI DIN