KUALA LUMPUR, 1 November - Bidang sains aktuari kini semakin signifikan dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan transformasi teknologi yang pesat.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, menegaskan bahawa sistem pendidikan tinggi negara perlu terus melahirkan graduan yang berdaya saing serta berupaya memimpin dalam landskap moden yang dinamik.
“Bidang aktuari kini bukan lagi tertumpu kepada insurans atau pengiraan statistik semata-mata.
Ia turut merangkumi penilaian impak perubahan iklim, pembangunan sistem pencen yang mampan serta menyokong agenda pembangunan lestari negara,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) KPT, Dr. Shamsuri Abdullah, yang mewakili Ketua Setiausaha KPT pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Aktuari 2025, bertemakan “Advancing Actuarial Excellence for a Sustainable Future”.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara universiti, industri dan badan profesional antarabangsa seperti Institute and Faculty of Actuaries (IFoA) bagi memperkukuh kualiti graduan serta meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat global.
Dalam ucapannya, beliau menyeru pelajar agar melihat bidang aktuari bukan sekadar sebagai disiplin pengiraan risiko, tetapi sebagai platform penting untuk menyumbang kepada penyelesaian isu besar dunia seperti risiko bencana dan kelestarian manusia.
Kementerian Pendidikan Tinggi, katanya, komited menyokong program berprofil niche seperti aktuari agar memperoleh pengiktirafan antarabangsa, seterusnya melahirkan tenaga mahir yang kompeten dan berdaya saing.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penghargaan Industri atas Sumbangan kepada Pendidikan Aktuari serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Sidang kemuncak berkenaan menampilkan pelbagai program menarik seperti CEO Roundtable, Sesi Perbincangan Panel, Actuarial Datathon, Human Resource Discussion & Simulation, selain aktiviti penglibatan seperti Career Fair, Mentor Hot Seat, Poster Competition dan lawatan kampus.
Acara itu turut disiarkan secara langsung ke Mahidol University (Thailand) dan Nanyang Technological University (Singapura), membuka ruang kepada kolaborasi serantau.
Lebih 500 peserta menghadiri sidang kemuncak berprestij itu, terdiri daripada pelajar, pendidik, alumni, pemimpin industri serta profesional dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta.