fb fb fb fb fb

Bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, Maritim tahan 2 kapal pengangkut

Dua kapal pengangkut bersauh tanpa kebenaran di Perairan Malaysia semalam/FOTO Maritim

KOTA TINGGI, 9 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim (MARITIM) Malaysia menahan dua kapal pengangkut kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot ronda Maritim Malaysia menahan kapal pertama berdaftar di Basseterre itu pada 1 tengah hari di kedudukan 8.0 batu nautika timur Tanjung Siang.

Manakala kapal kedua dari Majuro, Kepulauan Marshall ditahan di 11.8 batu nautika Timur Tanjung Lompat pada 1.10 tengah hari.

"Ketika pemeriksaan, nakhoda kedua-dua kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Kapal pengangkut berdaftar di Basseterre itu turut disiasat di bawah Seksyen 361 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak memiliki insurans wajib," katanya.

Nurul Hizam berkata, melalui Op Jangkar Haram sepanjang tahun lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 88 tangkapan dengan jumlah denda keseluruhan RM2.21 juta.

Justeru, beliau mengingatkan pengusaha perkapalan atau nakhoda kapal supaya mematuhi peraturan dan prosedur kerana usaha mengekang aktiviti bersauh secara haram akan digiatkan tanpa kompromi.

GRACE AISYAH KEDAYAN