fb fb fb fb fb

Bermula 5 Julai tidak wajib pakai pelitup muka di hospital, pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 29 Jun - Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di hospital dan pengangkutan awam berkuat kuasa 5 Julai ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun beliau berkata, pemakaian pelitup muka dikekalkan bagi kes pesakit positif COVID.19 dan mereka yang mengendalikan pesakit itu.

"Penilaian dibuat mengikut amalan kawalan dan pencegahan innfeksi bagi kes positif COVID-19 serta kakitangan kesihatan yang berurusan dengan pesakit.

"Pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas,individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan kawasan pengudaraan kurang baik," katanya menerusi kenyataan pada Khamis di sini, hari ini.



Beliau menambah, individu bergejala respiratori juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, Dr Zaliha memaklumkan status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok dilanjutkan bagi tempoh enam bulan lagi hingga 31 Disember ini.

"Walaupun penilaian situasi semasa COVID-19 berada pada tahap tidak membimbangkan dan perkhidmatan kesihatan tidak terbeban," katanya.

Beliau menjelaskan pelanjutan pengisytiharan itu masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.

Media Baharu