fb fb fb fb fb

Beras putih import turun harga berkuat kuasa 1 Disember

Foto Facebook Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 29 November -Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bersetuju untuk menurunkan harga jualan Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata persetujuan dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan BERNAS baru-baru ini.

Beliau berkata penurunan harga itu adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran Ringgit Malaysia berbanding dollar Amerika.

“Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKM akan meneruskan perbincangan dengan semua pemegang taruh berkaitan bagi memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.

“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. - BERNAMA

Trainee