fb fb fb fb fb

Beras Cap Feri laris di Pulau Pinang

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

GEORGE TOWN, 20 Mei – Sebanyak 80 tan metrik beras tempatan keluaran negeri Pulau Pinang, Beras Cap Feri, telah berjaya dikeluarkan sejak dilancarkan pada Disember tahun lalu.

Jumlah itu bersamaan 16,000 kampit dengan nilai jualan mencecah RM272,000.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, berkata inisiatif itu jelas membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan B40.

“Beras Cap Feri mendapat sambutan yang baik daripada rakyat Pulau Pinang kerana harga runcit bagi kampit 5 kilogram antara yang paling murah di pasaran, iaitu RM17.00 berbanding jenama lain,” katanya.

Menurut beliau, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri akan membentangkan laporan jualan secara berkala menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Beras Cap Feri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah, pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-15.

Beras Cap Feri kini dijual di empat lokasi utama iaitu Pusat Operasi FAMA, Karnival Jualan Agro MADANI FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Kedai Peladang di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Setakat April lalu, sebanyak 32 program Jualan Agro MADANI telah dianjurkan di 32 lokasi berbeza di seluruh negeri, dan kesemuanya habis dijual dalam tempoh dua jam.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN