fb fb fb fb fb

Bendung salah guna visa haji, Arab Saudi keluar notis perketat kawalan keselamatan

FOTO HIASAN

MEKAH, 1 Jun- Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan notis kepada Ketua Rombongan Haji (KRH) dari semua negara mengenai langkah kawalan keselamatan ketat yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Hal itu bagi membendung penyalahgunaan visa semasa musim haji. 

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, antara yang ditekankan termasuk peringatan kepada KRH untuk tidak membantu pergerakan atau penginapan jemaah yang menggunakan visa tidak sah.

"Ini belum pernah dibuat sebelum ini dan secara khusus. Kali ini disampaikan kepada semua Ketua Rombongan Haji yang juga diingatkan sekiranya mereka tidak mematuhi notis baru ini ianya akan memberi kesan terhadap operasi haji sesebuah negara, jadi itu juga satu penekanan daripada kementerian haji yang amat serius,"katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa tempatan telah mula melakukan operasi terhadap mereka yang tidak mempunyai permit dan visa haji sah.

Pemeriksaan dilakukan di bas-bas dinaiki jemaah; hotel penginapan dan laluan ke masjid bagi mengesan jemaah yang melanggar peraturan tersebut.

Beliau ditemui pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Mekah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE