KUALA LUMPUR, 5 November- Penyelesaian berasaskan alam sekitar atau 'nature base solution' bagi menangani risiko bencana wajar dilaksanakan terutama dalam menangani isu banjir.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang merasakan ia adalah alternatif kepada pendekatan kejuruteraan sedia ada.
"Misalnya menambah kapasiti takungan air dan mewartakan rizab sungai serta kawasan tanah lembab (wetlands) sebagai zon mitigasi banjir.
Semua ini adalah pendekatan lebih lestari dan berkesan," kata Datuk Seri Ir. Hasni di Parlimen.
Sementara itu, beliau turut menjawab celahan wakil Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang bertanyakan mengapa pendekatan kejuruteraan lebih popular dalam usaha mitigasi banjir.
"Kemungkinan ada kebimbangan di pihak kerajaan untuk mengambil pendekatan kejuruteraan sebagai langkah memenuhi ESG ini dan tidak melalui pendekatan alam dan semula jadi.
Kita tidak perlu bimbang kalau sekalipun kita menggunakan kaedah alam semula jadi bagi menangani perubahan iklim ini. Ia tidak menjejaskan negara kita sebagai negara industri atau menarik pelabur-pelabur perindustrian," tambahnya.