Belia Labuan digalak sertai SRS perkukuh keselamatan kejiranan

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim / Foto BERNAMA

LABUAN, 10 Mac – Orang ramai khususnya golongan belia di Labuan digalakkan menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi membantu memperkukuh keselamatan komuniti di kawasan kejiranan.

RINGKASAN BERITA AI
  • SRS inisiatif Kerajaan bawah Akta Rukun Tetangga memperkasakan peranan masyarakat dalam menjaga keselamatan setempat.
  • Ahli rondaan berfungsi sebagai mata dan telinga kepada penguat kuasa serta dilindungi insurans semasa menjalankan tugas.
  • Program menekankan konsep 5C bagi memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat serta penyerahan peralatan SRS.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim berkata SRS merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di bawah Akta Rukun Tetangga bagi memperkasakan peranan masyarakat dalam menjaga keselamatan setempat.

Beliau berkata skim berkenaan bukan sahaja membantu memantau keselamatan komuniti, malah berfungsi sebagai mata dan telinga kepada pihak penguat kuasa.

Menurutnya, penduduk yang terlibat dalam rondaan turut dilindungi insurans ketika menjalankan tugas.

“Penglibatan masyarakat dalam SRS amat penting bagi memastikan kawasan kejiranan sentiasa selamat selain mengukuhkan semangat kerjasama dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendidikan Keselamatan Kejiranan Jom Ronda SRS Kempen “1 Keluarga 1 Anggota SRS” di Taman Perumahan Mutiara di sini.

Taman Perumahan Mutiara merupakan kawasan perumahan terbesar di Labuan yang dihuni kira-kira 7,000 penduduk.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menekankan konsep lima peranan utama komuniti atau 5C iaitu communicator, collaborator, coordinator, consolidator dan capacity builder bagi memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat.

Program berkenaan turut dihadiri wakil ketua kampung, Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia serta Agensi Antidadah Kebangsaan.

Pada majlis sama, turut diadakan simbolik penyerahan peralatan SRS bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) progresif tahun 2026 serta pengaktifan semula skim rondaan sukarela di kawasan berkenaan.