KUALA LUMPUR, 28 November- Kadar pengangguran berjaya dikurangkan kepada 3.4 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding 3.6 peratus pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud menyeru generasi muda yang sedang mencari pekerjaan merebut peluang mengisi kekosongan jawatan sedia ada dengan merujuk atau mendapatkan makluman di laman sesawang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Jadi ini adalah satu berita baik kepada semua dan kita sebenarnya melalui PERKESO menyediakan banyak peluang-peluang pekerjaan.
"Setakat ini, 'accumulative' ada 1.8 juta kekosongan jawatan dan lebih kurang hanya sekitar 200 saja baru diisi.
"Yang penting layari MYFutureJobs di bawah PERKESO dan boleh lihat di mana kekosongan-kekosongan itu berada dan bolehlah sama ada pergi ke pejabat PERKESO atau pergi ke karnival kerjaya yang kami buat di seluruh negara," kata Mustapha kepada pemberita selepas berkongsi mengenai pencapaian Kementerian Sumber Manusia sepanjang setahun bersama Kerajaan MADANI dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.