
IPOH, 15 Mac -Golongan muda diingatkan supaya sentiasa memelihara keamanan negara serta tidak menyebarkan fitnah, terutama melalui media sosial.
- Hargai nikmat keamanan; ia lebih berharga daripada kekayaan dan harta.
- Semak setiap maklumat di telefon pintar sebelum berkongsi untuk mengelakkan penyebaran fitnah dan kekeliruan.
- Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan perpecahan masyarakat.
- Jadilah ejen perpaduan dengan menyebarkan mesej kasih sayang, perdamaian dan saling menghormati.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, nikmat keamanan yang dikecapi hari ini perlu disyukuri kerana tidak semua negara berada dalam keadaan aman. Malah, ada yang terpaksa berdepan konflik dan peperangan.
Menurutnya, masyarakat khususnya golongan muda perlu lebih bertanggungjawab ketika menggunakan telefon pintar dengan memastikan setiap maklumat yang diterima disemak terlebih dahulu sebelum disebarkan.
“Kalau kita membuka WhatsApp, pastikan kandungan yang diterima adalah maklumat yang betul dan bukan fitnah. Keamanan sesebuah negeri dan masyarakat sangat penting, malah nikmatnya melebihi segala-galanya.
“Jika negara dilanda perang, wang yang banyak pun tidak berguna, begitu juga kekayaan, malah memiliki kereta besar sekali pun tidak bermakna kerana kita tidak dapat bergerak ke mana-mana. Oleh itu, yang paling penting ialah nikmat keamanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Anak Muda di Perkarangan Dataran Ipoh, petang tadi.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Sebaliknya, mereka digalakkan menjadi ejen perpaduan dengan menyebarkan mesej kasih sayang, perdamaian dan saling menghormati demi mengekalkan keharmonian negara.