KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Belanjawan 2026 membuktikan kerajaan MADANI komited memperkasa institusi undang-undang agar terus dipercayai dan dihormati.
Selaras dengan tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan akses kepada keadilan untuk semua, beberapa inisiatif penting diperuntukkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Antaranya adalah penubuhan Mahkamah Bergerak Khas Kanak-Kanak, melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan kenaikan gaji hakim sehingga 30 peratus demi menjaga integriti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemerkasaan institusi undang-undang bukan hanya tertumpu kepada usaha memperkukuh keadilan sosial, namun asas penting kepada keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi.
"Belanjawan MADANI 2026 membuktikan bahawa reformasi undang-undang bukan bersifat elitis, tetapi menyentuh kehidupan setiap rakyat daripada perlindungan kanak-kanak sehingga aspek pendigitalan keadilan, bertepatan dengan falsafah Malaysia MADANI yang berteraskan nilai Amanah, Daya Cipta, Hormat, Ihsan dan Kesejahteraan dan sebagai panduan dalam pelaksanaan dasar undang-undang negara", katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Azalina berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan dan akan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sebaiknya bagi mencapai matlamat organisasi.