fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: Rakyat sandarkan harapan tinggi

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadual berlangsung esok mencetuskan pelbagai harapan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Golongan peniaga kecil hingga pelajar berharap peruntukan kerajaan kali ini memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, bantuan bersasar, serta peluang ekonomi yang lebih mampan.

Seorang peniaga kecil, Muhammad Azahari Hassan, berkata kerajaan diharapkan dapat mengekang kenaikan harga barangan asas yang memberi kesan besar kepada peniaga berpendapatan rendah.

0910 REAX ORANG RAMAI BELANJAWAN 2Muhammad Azahari Hassan/RTM

“Untuk peniaga-peniaga kecil mencari rezeki halal, kita memang beroperasi dalam margin rendah. Jadi, saya harap kerajaan dapat turunkan kos barangan asas seperti tepung, telur, dan barangan bersubsidi lain,” katanya.

Sementara itu, Nurul Sha Yusra Mawardi pula menyuarakan harapan agar bantuan sara hidup yang disalurkan melalui MyKad dapat diteruskan serta ditambah baik.

0910 REAX ORANG RAMAI BELANJAWAN 3Nurul Sha Yusra Mawardi/RTM

“Harapan saya, kalau boleh bantuan sara hidup yang guna MyKad tu dikekalkan. Sebab saya nampak ia beri impak besar kepada rakyat, sama ada pembeli atau peniaga. Kalau boleh, jumlah bantuan itu ditambah atau kekal setiap bulan,” ujarnya.

Bagi pelajar, bantuan pendidikan turut menjadi fokus. Afiesya Fazryna, calon SPM tahun depan, berharap nilai baucar pelajar dapat ditingkatkan bagi membantu persediaan pelajar menghadapi peperiksaan.

0910 REAX ORANG RAMAI BELANJAWAN 4Afiesya Fazryna/RTM

“Sebagai pelajar, saya harap baucar yang kita dapat RM100 tu boleh dinaikkan. Kalau jadi RM150, dapatlah saya gunakan untuk beli bahan latihan tambahan,” katanya.

Sementara itu, peniaga kecil Shidah Ismail berharap geran khas dan bantuan perniagaan mikro dapat diperluaskan dalam Belanjawan kali ini.

0910 REAX ORANG RAMAI BELANJAWAN 5Shidah Ismail/RTM

“Harapan saya agar geran khas peniaga kecil dan geran perniagaan mikro diperluaskan supaya kami dapat kembangkan perniagaan,” katanya.

Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok dijangka memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat, serta memacu pembaharuan khususnya dalam aspek tadbir urus yang baik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN