fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: PTPTN perhalusi pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma

Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Aminuddin Md Hanafiah/Foto RTM

IPOH, 12 Oktober – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memperhalusi pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Langkah itu bagi memastikan hanya pelajar daripada keluarga benar-benar memerlukan menerima manfaat bantuan berkenaan.

Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata tumpuan utama akan diberikan kepada golongan B40 termasuk miskin bandar, dengan mengambil kira perbezaan tahap pendapatan isi rumah.

"Pihak pengurusan PTPTN akan memperhalusi cadangan ini bagi menetapkan satu tatacara pelaksanaan yang sesuai demi memastikan insentif yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat dilaksanakan dan memberi kebaikan kepada para pelajar di IPTA nanti.

“Kategori penerima yang diumumkan agak luas, jadi kita perlu memperincikannya agar pelaksanaan lebih tepat dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penyampaian Sumbangan Deepavali di Dewan Komuniti Villa MDP, Tambun, di sini hari ini.

Menurut Datuk Aminuddin, PTPTN turut memiliki data lengkap pelajar bagi membantu memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan berjalan dengan lebih berkesan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan seramai 5,800 anak keluarga miskin akan menikmati pendidikan percuma melalui pinjaman PTPTN mulai tahun 2026, dengan peruntukan RM120 juta setahun di bawah Belanjawan 2026.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN