KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan bercadang memperluas pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful nyawa sebagai langkah menangani isu kenaikan inflasi perubatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pelepasan cukai itu buat pencarum dan pasangan turut meliputi anak.
Katanya, langkah itu antara inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi menggalakkan caruman perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan rakyat, selain memperkukuh keselamatan kesihatan sosial negara.
“Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas polisi insurans atau sijil takaful bernilai kecil yang dibeli oleh individu dan PMKS akan dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028. Pengecualian duti setem bagi produk Perlindungan Tenang juga dilanjutkan sehingga tahun yang sama,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Sebanyak RM60 juta dana bersama antara kerajaan dan industri turut disediakan bagi memperkenalkan produk insurans asas mampu milik untuk semua serta melaksanakan Diagnosis Related Group (DRG).
Selain itu, hospital swasta dibenar menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital yang diuruskan oleh syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) bagi membantu pesakit kurang mampu. Pendapatan yang diterima tabung tersebut diberi pengecualian cukai, manakala penyumbang turut layak mendapat potongan cukai.
Kerajaan juga membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
Skim MySalam diteruskan
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif mySalam diteruskan untuk tahun 2026 bagi terus membantu rakyat berpendapatan rendah dengan subsidi perlindungan hospitalisasi dan penyakit kritikal.
"Sejak MySalam diperkenalkan, skim perubatan itu telah membayar tuntutan bagi manfaat hospitalisasi dan penyakit kritikal melebihi RM1.2 bilion yang mana memanfaatkan lebih 1.7 juta penerima di seluruh negara," katanya.
Keseluruhannya, inisiatif itu sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sistem kesihatan nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan RM46.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memperluas capaian dan menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.