KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin reformasi sektor awam, dengan tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pemeliharaan kemampanan fiskal.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2026 menjelaskan, usaha tersebut antaranya merangkumi pemodenan perkhidmatan awam, pengenalan kerangka dan perundangan bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan, serta pengukuhan prinsip integriti dan tadbir urus beretika.
“Reformasi ini disokong oleh komitmen untuk mengoptimumkan sumber awam, meminimumkan ketirisan dan memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Bagi memperkukuh piawaian tadbir urus negara, MOF menyatakan bahawa Belanjawan 2026 digubal berasaskan pembaharuan sedia ada di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, serta Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Dalam aspek pemodenan kewangan awam melalui teknologi, kerajaan sedang giat mendigitalkan sektor awam bagi mengoptimumkan kutipan hasil, mengurangkan ketirisan dan memperbaiki penyampaian program.
Bagi reformasi perkhidmatan awam untuk kerajaan masa hadapan, Belanjawan 2026 akan memacu penilaian berasaskan prestasi, pembangunan keupayaan dan pendekatan akauntabiliti di bawah Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867).