PULAU PINANG, 18 Oktober - Kerajaan Pulau Pinang menyambut baik berkenaan pelaksanaan enam projek persekutuan khusus buat negeri itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam kenyataan berkata, beliau berharap kesemua projek itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
"Pelaksanaan kesemua projek ini turut dapat memacu kepada pembangunan negeri sekali gus meningkatkan ekonomi negeri," kata Chow Kon Yeow.
Projek berkenaan meliputi Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bahagian Seberang Perai dan Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.
Turut diumumkan projek Transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta Projek Batu Kawan Industrial Park 3.