KANGAR, 10 Disember -Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam di Perlis, kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM2,000, menerusi peruntukan Belanjawan 2025, negeri itu.
Menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ke semua pegawai lantikan kontrak juga layak menerima bantuan itu).
“Kerajaan negeri sentiasa cakna dan prihatin terhadap motivasi dan kebajikan semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.
“Semua penjawat awam termasuk pegawai lantikan secara kontrak juga tidak terkecuali,” jelas Mohd Shukri ketika membentangkan Belanjawan 2025, bertemakan 'Perlisku Bestari Berkat Bestari', di sini hari ini.
Keseluruhan Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan sebanyak RM303.28 juta untuk Belanjawan 2025, meningkat sebanyak RM9.36 juta berbanding RM293.82 untuk Belanjawan 2024.
Daripada jumlah itu, RM196.11 juta atau 64. 66 peratus disediakan bawah perbelanjaan mengurus, manakala RM107.17 juta atau 35.34 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.
Jelas Mohd Shukri, bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2025, penekanan akan diberikan kepada tiga tekad utama.
"Belanjawan ini akan memberikan fokus kepada tiga tekad utama iaitu: Tekad 1: Anjakan Ekonomi Bestari: Transformasi Menuju Kelestarian; Tekad 2: Keseimbangan Sosioekonomi Tonggak Keberkatan dan Tekad 3:Lonjakan Perubahan: Meluhur Bestari, Meraih Berkat Melakar Kelestarian," menurut Mohd Shukri.
Bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil pada 2025 berjumlah RM122.93 juta, meningkat sebanyak RM9.7 juta berbanding 2024.
Berikutan anggaran hasil tersebut kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM73.18 juta bagi 2025 iaitu peningkatan sebanyak RM1.78 juta berbanding 2024.
Pembentangan Bajet 2025 dibuat pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini.