fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: NACSA terima peruntukan RM10 juta, tambahan 100 perjawatan

Foto FB NACSA

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan 100 perjawatan serta peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu seiring dengan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024.

"Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan. Isu scam, pornografi kanak-kanak, serta pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa adalah isu besar yang mesti dibendung," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.

Bagi menangani masalah buli siber yang semakin meruncing, Anwar turut memaklumkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan digubal.

Ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan, terutama yang melibatkan kanak-kanak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN