fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025 : Kementerian Komunikasi fokus pemantapan prasarana & kesalinghubungan

Fahmi berucap pada Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Pulau Pinang di Batu Uban, Gelugor / FOTO RTM

GEORGE TOWN, 5 Oktober- Pemantapan prasarana kesalinghubungan menjadi antara fokus Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2025.

Ini termasuk usaha menaik taraf capaian internet di 4,000 buah sekolah pedalaman, kawasan pulau dan universiti awam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebelum ini menerusi projek Point Of Presence (POP), capaian tersebut hanya terhad di luar pagar sekolah dan tidak menyeluruh.

Justeru, beliau melihat terdapat keperluan untuk kementerian memperbaiki isu tersebut.

Ini bakal dilaksana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah mengarahkan satu perbincangan dijalankan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bagi mengenal pasti sebarang isu berkaitan internet di universiti awam.

"Perdana Menteri juga telah menyarankan supaya kita memberi fokus menyelesaikan masalah internet di kampus, di universiti-universiti awam dan saya telah minta pihak MCMC segera berbincang dengan pihak KPT untuk kita kenal pasti kampus mana, isu internet sama ada internet luar, internet dalam bangunan ataupun internet Wi-Fi contohnya, yang mana yang perlu kita bantu kampus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Pulau Pinang di Batu Uban, Gelugor, malam tadi.

Dalam perkembangan berlainan, Fahmi menggesa Komuniti MADANI membuat pengesahan berhubung maklumat yang diperoleh dalam memastikan kesahihannya.

Fahmi berkata Segmen "Biar Betul!" terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara platform terbaik memastikan maklumat tepat disampai kepada masyarakat.

Justeru, platform itu jelasnya wajar dimanfaatkan dalam menangkis penyebaran berita palsu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE