fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025 diharap bawa berita gembira buat nelayan

FOTO RTM

LANGKAWI, 1 Oktober-Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengharapkan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini bakal memberi berita gembira buat industri perikanan negara.

Antaranya ialah meneruskan inisiatif dan bantuan yang telah diberikan kepada nelayan sebelum ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata ia bagi memastikan kebajikan nelayan terus dibela sekali gus mendorong mereka untuk terus produktif dalam meningkatkan hasil tangkapan.

"Kalau kepada petani,pesawah memberi subsidi baja tapi kepada nelayan mereka tiada subsidi lain. Bantuan minyak kerana operasi nelayan bergantung pada minyak. Sedikit sebanyak bantuan kerajaan amat diperlukan mereka", katanya demikian selepas merasmikan Sesi Libat Urus Pemasaran Digital Dan Logistik yang berlangsung di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang dimulakan pada tahun 2020.

Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun, selain memberikan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan, serta menyediakan RM10 juta untuk membina baharu serta membaik pulih rumah nelayan uzur.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD