KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Projek-projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat dalam Belanjawan 2024 bagi memudahkan pergerakan rakyat.
Untuk itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, dijangka siap sepenuhnya tahun depan, manakala proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan bulan November ini.
Sementara itu Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 melibatkan jajaran lebih 320 kilometer dengan kos hampir RM7.4 bilion juga mula dilaksana penghujung tahun ini.
Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam melibatkan kos RM931 juta.
"Subsidi pengangkutan awam seperti bas, rel dan perkhidmatan udara akan terus disediakan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini.
Subsidi itu antaranya RM96 juta dana sokongan bas henti-henti, RM209 juta bagi pengangkutan udara di pedalaman Sabah dan Sarawak serta manfaat pas bulanan My50.
Pas bulanan yang diteruskan itu akan memberi manfaat kepada lebih 180,000 penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel Prasarana.
Kerajaan turut bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Stesen-stesen itu dijangka melengkapi dan menambah jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan dua juta penduduk.
"Anggaran awal, LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai seperti yang dirancang Kerajaan Negeri berjumlah RM10 bilion menurut kaedah kerjasama awam-swasta (PPP)," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)