fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024 diluluskan, 85 Ahli Parlimen ambil bahagian dalam perbahasan

RUU Perbekalan 2024 diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 November - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024), selepas ia selesai dibahaskan di peringkat dasar.

RUU Perbekalan 2024 diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sementara itu, ketika menggulung RUU berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah pengurangan defisit fiskal tidak bermaksud mengabaikan usaha melindungi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi.

Jelas beliau, sasaran pengurangan defisit fiskal adalah secara beransur-ansur dan ia tidak dibuat secara mendadak dan mengekalkan dasar fiskal mengembang.

"Beberapa langkah belanjawan ini termasuk cukai keuntungan modal, dan cukai barang bernilai tinggi, itu akan menambah pendapatan kepada kerajaan dianggarkan RM4 bilion jadi pencapaian fiskal itu saya jangka dapat dilaksanakan.

"Kita tetapkan sasaran defisit fiskal 5 peratus, kemudian 4.3 peratus, kalau tidak tercapai umpamanya, saya tidak ada pilihan terpaksa bentang balik untuk dibantah, atau disokong atau dikritik yang berhormat," kata Anwar.

Bagi tahun 2024, kerajaan meletakkan sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus, berbanding 5 peratus pada 2023.

Dalam pada itu, menyentuh soal pembangunan negeri, Anwar berkata, peruntukan ditingkatkan bagi semua negeri, dengan Sabah dan Sarawak memperoleh peruntukan tertinggi.

Selain itu, kedua-dua negeri berkenaan turut menerima pemberian persekutuan tertinggi pada 2024.

"Memang ada kesenggangan (ruang) untuk perkara yang asas seperti api, air, jalan berlubang, itu kita cuba selesaikan tahun ini, kemudian Pan Borneo, kemudian kemudhan-kemudahan yang sangat daif termasuk sekolah di luar bandar, di pedalaman, itu kita akui, sebab itu kita kata kita tambah peruntukan yang lebih besar.

"Dalam keadaan keupayaan kewangan ini, kita harus cuba imbangi keperluan, cuma tumpuan kepada permasalahan-permasalahan yang kritikal, di Sabah dan Sarawak tidak boleh kita tangguh," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN