JASIN, 13 Disember- Bekas Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka, Norazlin Mohamad, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Datuk Andak, Serkam Pantai di sini selepas solat Jumaat tadi.
Allahyarham meninggal dunia pada pukul 7.42 malam semalam (Khamis) di Hospital Melaka akibat komplikasi jantung.
Beliau meninggalkan suami, Abdul Wahab Ishak, 59, dan dua anak berusia 22 dan 24 tahun.
Norazlin yang menghidap diabetes sejak 2017 turut didiagnos dengan penyakit buah pinggang setahun kemudian. Komplikasi tersebut menjejaskan penglihatannya dan menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong pada 2020.
Disebabkan keadaan kesihatannya, Allahyarham Norazlin mengambil keputusan bersara awal pada 2022 bagi menjalani rawatan dialisis secara berkala.
Norazlin pernah bertugas di Unit Berita Radio di Angkasapuri sebelum berpindah ke RTM Melaka pada 2017.
Beliau juga merupakan salah seorang penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA pada awal tahun lalu.
BERITA BERKAITAN