Bekas pelatih PLKN, bantu operasi banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 PLKN 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk / BERNAMA

BAGAN DATUK, 16 November– Bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berpotensi digerakkan sebagai sukarelawan bagi membantu operasi pengurusan bencana, termasuk ketika berdepan situasi banjir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme pengurusan bencana telah diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.
  • Cadangan memanjangkan tempoh latihan PLKN daripada 45 hari kepada sekurang-kurangnya 90 hari bagi memperkukuh disiplin dan daya tahan generasi muda.
  • Pelaksanaan tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan dan penambahbaikan kurikulum PLKN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu boleh diteliti menerusi penyelarasan data bekas pelatih bagi mengenal pasti keupayaan dan kesediaan mereka untuk digerakkan.

Jelasnya, ketika ini mekanisme pengurusan bencana sudah diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

“Mungkin data boleh dikumpulkan untuk kita memobilisasikan mereka namun jika mereka bekerja itu agak sukar sedikit.

“Tetapi mungkin suatu kaedah dapat dicari untuk membawa mereka menjadi sukarelawan ketika bencana atau jika tenaga mereka diperlukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan tempoh latihan PLKN dipanjangkan daripada 45 hari kepada sekurang-kurangnya 90 hari bagi memperkukuh disiplin dan daya tahan dalam kalangan generasi muda.

Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan bagi membiayai pelaksanaan tempoh latihan yang lebih panjang serta penambahbaikan kurikulum PLKN.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media Majlis Perbarisan Tamat Latihan, Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) Siri 4/2026 di Kompleks Sukan Bagan Datuk.

Sementara itu, seramai 1,899 wira muda berjaya menamatkan latihan PLKN 3.0 Siri Empat 2026 selama 45 hari, melibatkan lapan pusat latihan di seluruh negara.

Jumlah itu melepasi sasaran pengambilan seramai 1,860 peserta, dengan pencapaian 102.10 peratus.

Daripada jumlah tersebut, 1,149 merupakan peserta lelaki manakala 750 lagi perempuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.