Bekalan petrol di stesen minyak Selangor mencukupi

KPDN Selangor melaksanakan pemeriksaan di stesen minyak Lembah Klang bagi memastikan pematuhan peraturan serta kestabilan bekalan bahan api/Foto Facebook KPDN Selangor

KLANG, 10 April – Bekalan petroleum di stesen minyak sekitar Selangor didapati mencukupi tanpa sebarang gangguan atau kehabisan stok hasil pemeriksaan dan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan melibatkan Lebuhraya Lembah Klang, Ara Damansara, Pelabuhan Klang, Pandamaran, Banting, Shah Alam dan Bandar Rimbayu.
  • Semua stesen memiliki Kebenaran PDA dan lesen Control of Supplies Act bagi pengendalian petrol dan diesel.
  • Buku stok dan rekod jualan diperiksa teratur tanpa penemuan mencurigakan.
  • Ujian teknikal pam menggunakan alat 10 liter mendapati pam dalam julat dibenarkan; pemantauan turut fokus larangan jual kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Pemeriksaan melibatkan beberapa lokasi termasuk Lebuhraya Lembah Klang, Ara Damansara, Pelabuhan Klang, Pandamaran, Banting serta sekitar Shah Alam dan Bandar Rimbayu.

KPDN Selangor menerusi hantaran di Facebook berkata semua stesen minyak yang diperiksa memiliki kebenaran dan lesen sah bagi pengendalian barang kawalan petrol serta diesel.

“Semakan turut mendapati buku stok dan rekod jualan berada dalam keadaan teratur tanpa sebarang penemuan mencurigakan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam masa sama, pemantauan dan pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada pematuhan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan berpendaftaran asing.

“Pemeriksaan terhadap stesen minyak dijalankan dan mendapati kesemuanya memiliki Kebenaran PDA dan Lesen Control of Supplies Act (CSA) bagi barang kawalan petrol dan diesel,” katanya.

Selain itu, pemeriksaan teknikal turut dijalankan ke atas pam dispenser menggunakan alat sukat isipadu cecair 10 liter bagi memastikan ketepatan sukatan.

“Hasil ujian mendapati semua pam berada dalam julat dibenarkan dan tidak melibatkan sebarang kesalahan, selain masih dalam tempoh tentusahan,” menurut kenyataan itu.