Bekalan minyak, LNG terjamin, Malaysia dijangka tidak alami krisis bekalan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, hari ini

KUALA LUMPUR, 7 April – Malaysia dijangka tidak mengalami krisis bekalan minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, meskipun berdepan kemungkinan kenaikan harga bahan api itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PETRONAS mendapat kredit atas prestasi cemerlang dan hubungan erat dengan negara pengeluar minyak.
  • Bekalan LNG disokong pengeluaran domestik, import jangka panjang dari Australia, dan operasi PETRONAS di Kanada.
  • Kerjasama strategik dengan Turkiye merangkumi LNG dan semikonduktor untuk kukuhkan rantaian bekalan serta hubungan dua hala.
  • Malaysia antara lima pengeksport LNG terbesar dunia; Turkiye penting sebagai pasaran gas utama Eropah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia didorong prestasi rekod cemerlang PETRONAS sebagai pengimport bersih minyak dan hubungan baik syarikat itu dengan negara pengeluar minyak.

“Buat masa ini, kita mempunyai unjuran sehingga Mei dan Jun. Walaupun orang ramai beranggapan negara menghasilkan semua minyak secara domestik, Malaysia sebenarnya juga pengimport bersih kerana produk minyak tempatan lebih premium.

“Namun, kredit wajar diberikan kepada PETRONAS kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta hubungan yang baik dengan negara pengeluar minyak. Justeru, kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat sedikit gangguan harga tetapi bagi beberapa bulan akan datang, bekalan adalah agak terjamin,” katanya dalam Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar turut memberi jaminan bahawa bekalan gas asli cecair (LNG) mencukupi.

Jelas beliau, Kuala Lumpur terus mendapat manfaat daripada pengeluaran domestik dan import, terutama dari Australia menerusi perjanjian jangka panjang, selain daripada operasi Petronas di Kanada.

“Malaysia mempunyai kapasiti pengeluaran LNG yang besar dengan sokongan import dari Australia dan kejayaan operasi kita di Kanada yang secara keseluruhannya menyokong keterjaminan tenaga negara,” katanya.

Pada masa sama, negara juga secara agresif meneroka peluang dengan Turkiye yang merentasi pelbagai sektor strategik, termasuk LNG dan semikonduktor yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala ekonomi selain meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

Pengeluaran minyak Turkiye menokok 26 peratus, manakala pengeluaran gas melonjak 39 peratus pada 2025.

Kerajaan Turkiye menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan asing serta memperkukuh keterjaminan tenaga dan pada masa ini negara itu memenuhi kira-kira dua pertiga daripada permintaan tenaga menerusi import dengan kos dianggarkan AS$60 bilion hingga AS$70 bilion setiap tahun.

Selain itu, Turkiye merupakan pasaran gas keempat terbesar di Eropah dan berperanan penting dalam landskap tenaga rantau berkenaan manakala Malaysia adalah antara lima pengeksport LNG terbesar di peringkat global.