fb fb fb fb fb

Bekalan mentah di Selangor mencukupi - Exco Pertanian

Exco Pertanian Ir Izham Hashim

BANGI, 10 Mac- Kerajaan Selangor memberi jaminan bekalan mentah seperti ayam, daging dan telur di negeri itu mencukupi menjelang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi kata Exco Pertanian Ir Izham Hashim.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik atau melebihi keperluan.

"Kita memang sentiasa memantau dan berbincang bagaimana memastikan bekalan terutama bekalan utama seperti beras, daging lembu, ayam, telur ayam yang jadi keperluan utama mencukupi.

"Setakat ini kita mendapat laporan semuanya terkawal dan harga yang ditawarkan menjelang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri nanti berpatutan," katanya selepas melancarkan program Semarak Ramadan Madani peringkat Selangor di Pasar Tani Laman Niaga, di sini.

Program yang dilaksanakan selama dua hari itu melibatkan 17 pasar tani di Selangor bagi memastikan orang ramai memperoleh bekalan menjelang Ramadan.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor menyasarkan nilai jualan dalam program kali ini sebanyak RM1 juta dengan 150,000 pengunjung.

Bagaimanapun Jualan Agro MADANI yang ditawarkan kepada pengunjung memberikan penjimatan sebanyak 10 hingga 30 peratus melibatkan 200 bakul Kombo MADANI pada harga RM10 setiap bakul.

Selain itu, turut diadakan jualan daging dengan harga istimewa bermula RM38 sekilogram.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI