Bekalan makanan negara mencukupi, tidak perlu buat pembelian panik

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan makanan mencukupi /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Mac – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara ketika ini berada pada tahap mencukupi dan rakyat tidak perlu panik meskipun terdapat perkembangan geopolitik yang melibatkan laluan perdagangan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumber import makanan terpelbagaikan dari India, Pakistan, ASEAN, Brazil, Argentina, New Zealand dan Australia, kurang bergantung pada Selat Hormuz.
  • Komuniti MADANI, Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah diperhebat untuk menambah bekalan serta menawarkan harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah.
  • Kabinet setuju tingkatkan stok simpanan beras bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga tempoh sembilan bulan.

Menurut beliau, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada laluan import melalui Selat Hormuz kerana kebanyakan bekalan makanan diperoleh dari India, Pakistan, negara ASEAN, Brazil, Argentina, New Zealand dan Australia.

” Bahan-bahan import makanan kita kurang yang melalui Selat Hormuz itu. Banyak kita terlibat dengan India, Pakistan, ASEAN, Brazil, Argentina, New Zealand, Australia, semuanya berada di sebelah sini. Masalahnya kalau ianya berpanjangan akan impact di sudut pengangkutan dan sebagainya, barangkali pada waktu itu akan berlaku perubahan di sudut harga dan sebagainya. Buat masa ini, jangan kita bimbang apa-apa, kita sambut Hari raya dengan tenang, dengan konsep berjimat cermat terus kita jalankan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri. Bekalan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, daging kerbau, susu segar, sayur, buah buahan , semuanya cukup. Sekurang-kurang sampai bulan 5 dan bulan 6 yang akan datang.’ katanya.

Bagi menambah bekalan, kementerian akan mempergiatkan program Komuniti MADANI serta inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang menawarkan harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran.

Dalam masa sama, beliau juga memaklumkan kabinet turut bersetuju meningkatkan stok simpanan beras negara sehingga mencukupi bagi tempoh sembilan bulan.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Kabinet Khas mengenai impak konflik di Asia Barat di Putrajaya.