
PETALING JAYA, 5 Mac – Bekalan elektrik dan air di Rumah Pangsa Kayu Ara kembali stabil sepenuhnya selepas kerja pembaikan sistem elektrik utama bangunan itu selesai pada pukul 11 malam, Selasa lalu.
- Kerosakan papan suis utama (MSB) akibat litar pintas menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan pam air terganggu.
- MSB dikatakan tidak diselenggara sejak 2007, menyumbang kepada kejadian kerosakan dan kebakaran komponen.
- RM25,000 diperlukan untuk pembaikan; RM20,000 dari peruntukan ADUN dan RM5,000 oleh Badan Pengurusan Bersama.
- Proses kelulusan peruntukan dipercepatkan kepada dua hari bekerja berikutan kecemasan dengan kerjasama pejabat berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan papan suis utama (MSB) akibat litar pintas di bilik elektrik bangunan sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan operasi pam air.
“Insiden ini bukan berpunca daripada kegagalan Tenaga Nasional Berhad membekalkan elektrik, sebaliknya melibatkan kerosakan pada ‘switch box’ yang berfungsi sebagai pusat agihan elektrik ke seluruh bangunan.
“Komponen itu terbakar dan rosak menyebabkan keseluruhan bangunan terputus bekalan elektrik. Saya juga dimaklumkan MSB di premis ini tidak diselenggara sejak tahun 2007,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Tambah beliau, pihaknya bersetuju menyalurkan RM20,000 daripada peruntukan projek kecil pejabat ADUN Bandar Utama, manakala Badan Pengurusan Bersama menanggung RM5,000 bagi kos keseluruhan pembaikan sebanyak RM25,000.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan proses kelulusan peruntukan yang biasanya mengambil masa dua hingga empat minggu berjaya dipercepatkan kepada dua hari bekerja berikutan keadaan kecemasan, dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Petaling serta Pejabat Kewangan Negeri Selangor.