
ALOR SETAR, 18 Februari – Bekalan barangan keperluan termasuk barangan basah di Kedah dilaporkan mencukupi dan tidak menunjukkan kenaikan harga yang ketara menjelang Ramadan yang bermula esok.
- Bekalan barangan keperluan di Kedah dilaporkan mencukupi dan harga keseluruhan stabil menjelang Ramadan.
- Terdapat kekurangan ikan kembung disebabkan faktor cuaca, menjejaskan hasil tangkapan nelayan.
- Harga ikan kembung kekal tinggi RM15–RM20/kg, membebankan pengguna terutama golongan B40 dan M40.
- CAKE gesa LKIM tambah bekalan ikan sejuk beku dan pihak berkuasa tingkat pemeriksaan harga serta tanda harga peniaga.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati harga barangan keperluan secara keseluruhan adalah stabil meskipun permintaan meningkat sempena persiapan umat Islam menyambut Ramadan.
Menurut beliau, kebimbangan awal pembekal dan pemborong mengenai kemungkinan kekurangan bekalan berikutan sambutan Tahun Baharu Cina yang hampir serentak dengan Ramadan tidak berlaku.
“Bagaimanapun, setakat tinjauan hari ini, bekalan adalah mencukupi. Hanya terdapat kekurangan bekalan ikan kembung yang dipercayai berpunca daripada faktor cuaca,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan di Pasar Besar Alor Setar.
Bagaimanapun, katanya, terdapat kekurangan bekalan ikan kembung di pasaran disebabkan faktor cuaca yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan.
“Untuk pasaran ikan kembung atau ikan rakyat yang menjadi pilihan golongan B40, M40 dan juga T20, harga ikan ini tidak turun sejak tiga bulan lalu dan berada pada paras RM15 hingga RM20 sekilogram.
“Ini membebankan pengguna dan ramai memaklumkan sudah lama tidak membeli ikan kerana menunggu harga pasaran turun memandangkan harga ikan ini tertakluk kepada harga siling”, katanya demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan bekalan dan harga barangan di Pasar Besar Alor Setar di sini.
Dalam pada itu, CAKE menyarankan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menambah bekalan ikan sejuk beku bagi memastikan stok berterusan, terutama dengan jangkaan monsun barat daya hingga Mei ini yang boleh menjejaskan tangkapan.
Tinjauan turut mendapati masih terdapat peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga. Sehubungan itu, pihak berkuasa digesa menjalankan pemeriksaan berterusan termasuk pada cuti umum bagi mengelakkan sebarang manipulasi harga sepanjang Ramadan.